Hukuman mati bagi kes buang bayi Hukuman_mati_di_Malaysia

Di Malaysia, kes pembuangan bayi dilihat berlaku semakin menjadi-jadi.[3] Dianggarkan bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan di Malaysia, manakala 60 kes direkodkan sejak awal tahun 2010 hingga 12/8/2010.[4] Malah masalah ini dari hari ke hari semakin bertambah di negara tersebut. Keadaan tersebut dipandang cukup serius oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, penguatkuasaan dan beberapa badan bukan kerajaan akibat dari liputan media yang hangat.

Berikutan itu, Kabinet Malaysia telah memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat.[5]

Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum denda maksimum RM 20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.[6]